Oleh Zef OthmanISU keselamatan adalah antara aspek perlindungan terhadap sistem komputer yang sering dititik beratkan di kalangan pengguna masa kini. Tanpa disedari, ancaman itu boleh disalurkan daripada pelbagai sumber khususnya ketika melayari Internet, penggunaan peralatan storan mudah alih dan e-mel. Menerusi ruangan ini, TipIT akan mengetengahkan kaedah perlindungan keselamatan yang perlu diambil ketika memuat turun program di laman web.
Kebiasaannya, fail atau program yang mengandungi virus akan menempatkan dirinya bersama-sama fail program dan seterusnya mengaktifkan virus terbabit apabila ia (fail program) beroperasi. Fail program itu kebiasaannya dijangkiti daripada sumber yang dimuat turunkan menerusi Internet. Sebagai langkah awal menangani isu ancaman luar, pengguna Internet disarankan untuk memuat turun program daripada laman web yang boleh dipercayai.
Ketika proses muat turun program berlangsung, tiga kotak arahan utama seperti ‘Run’, ‘Save’ dan ‘Cancel’ akan dipaparkan sebagai pilihan untuk langkah seterusnya. Sekiranya anda memilih ‘Run’, ia hanya akan memuat turun fail ketetapan program berkenaan sebagai fail sementara yang kemudian akan disimpan di dalam sistem komputer. Apabila ia sudah disimpan di dalam fail tersebut, program terbabit akan beroperasi secara automatik tanpa memerlukan pengesahan pemilik atau melaksanakan imbasan virus. Ia secara tidak langsung boleh membahayakan komputer pemilik sekiranya program di muat turun daripada sumber baru atau yang tidak diketahui latar belakangnya.
Bagaimanapun, sekiranya pemilik membuat pemilihan untuk menyimpan (Save) program berkenaan, ia boleh disimpan di mana-mana lokasi di dalam sistem komputer itu. Pendekatan itu membolehkan anda untuk mendapatkan sumber lengkap bagi program yang dimuat turun di dalam komputer pemilik dan seterusnya memudahkan aktiviti imbasan dilakukan sebelum program berkenaan dibuka. Kaedah itu membolehkan anda mempunyai lapisan keselamatan tambahan yang berperanan untuk melindungi sistem komputer pemilik. Proses pengesanan virus juga boleh dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan apabila sumber lengkap fail diperoleh.